Perpindahan pemain Thailand ke Liga Jepun berterusan apabila dilaporkan seorang penyerang skuad kebangsaan Thailand bakal berhijrah ke sebuah kelab di sana.
Pemain yang dimaksudkan ialah penyerang berbisa Muangthong United, Poramet Arjvirai yang dikhabarkan bakal menyertai kelab divisyen 2 Jepun (J. League 2), Jubilo Iwata.
Arjvirai yang berusia 26 tahun akan ke kelab tersebut secara pinjaman selama 11 bulan kontrak dengan pilihan lanjutan kontrak oleh kelab tersebut jika prestasi penyerang itu memuaskan.
Perkara itu dikongsikan oleh laman bola sepak terkemuka di Asia Tenggara iaitu Asean Football melalui satu hantaran di laman X.
“Penyerang Thailand, Poramet Arjvirai (lahir 1998) telah secara rasmi menyertai Júbilo Iwata dalam J.League 2 Jepun dengan perjanjian pinjaman 11 bulan daripada Muangthong United, dengan pilihan untuk lanjutan kontrak,” kongsi Asean Football di laman X.
Untuk rekod, sepanjang musim Liga Thailand 2024/2025, Arjvirai telah menampilkan aksi berkualiti dengan meledak 18 gol dalam 38 penampilan dalam semua kejohanan termasuk bagi saingan Asian Champions League 2 (ACL2).
Ini bukanlah kali pertama pemain Thailand berkelana ke Jepun bagi mengembangkan karier kerana sebelum ini beberapa nama besar sudah mencipta impak di liga negara tersebut seperti Teerasil Dangda, Chanatip Songkrasin dan Ekanit Panya.