Bekas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong sedia mempertimbang kemungkinan melatih China sekiranya menerima tawaran dari negara itu.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak China (CFA) dilaporkan mahu mendapatkan jurulatih Korea Selatan itu sebagai pengganti Branko Ivankovic.
Khidmat jurulatih Croatia itu ditamatkan CFA susulan prestasi longlai China dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. Ini termasuk kekalahan 1-0 di tangan Tim Garuda baru-baru ini.
Apabila ditanya tentang khabar angin itu, Tae-yong mengakui belum menerima sebarang tawaran daripada CFA.
Pada masa sama, jurulatih berusia 54 tahun itu percaya beliau mampu membimbing China kembali cemerlang jika diberi peluang berbuat demikian.
“Belum ada sebarang tawaran. Jika mereka (China) menyerahkan pasukan kepada saya, saya yakin akan melakukan tugas dengan baik,” katanya seperti dilaporkan News1.
Meskipun begitu, bekas pengendali Seongnam FC itu dijangka berdepan saingan untuk mendapatkan kerusi panas tersebut.
Ini kerana mengikut laporan Sports Chosun, CFA turut mengintai khidmat jurulatih Chengdu Rongcheng, Seo Jung-won dan bekas jurulatih Manchester City, Roberto Mancini.