Penyerang berbisa Brazil, Guilherme Bissoli kembali memperkuatkan jentera serangan Buriram United menjelang aksi final kedua Shopee Cup.
Sebelum ini, Bissoli terpaksa melupakan aksi final pertama pada 20 Mei lalu kerana menjalani penggantungan satu perlawanan. Ini selepas beliau mengutip dua kad kuning dalam aksi separuh akhir kedua Shopee Cup pada 13 Mei lalu.
Kepulangan Bissoli untuk aksi ini turut menceriakan jurulatih Buriram, Mark Jackson. Ini kerana penyerang berusia 28 tahun itu mampu menambah bisa serangan pasukan itu.
“Ia sangat penting untuk kita untuk mendapatkan khidmatnya semula,” katanya seperti dilaporkan ASEAN United.
“Ia bakal menjadi satu suntikan moral yang besar kepada pasukan untuk kembali mendapat khidmat Bissoli dan saya tahu beliau juga tidak sabar untuk bermain (dalam aksi final kedua).”
Bissoli sudah menjaringkan 40 gol dalam 49 perlawanan musim ini. Ini termasuk enam gol dalam saingan Shopee Cup.
Bekas penyerang Sao Paulo itu bukan saja berpeluang membantu Buriram mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim 2024/25.
Malah, Bissoli juga berpeluang menutup kempen Shopee Cup sebagai penjaring terbanyak. Rakan senegara yang mewakili Selangor FC, Chrigor Moraes dilihat pencabar terdekat beliau untuk gelaran tersebut dengan lima gol.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan penyerang Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC), Nguyen Xuan Son berkongsi tujuh gol sambil diekori Bissoli dan Chrigor.
Sekiranya Bissoli berjaya menjaringkan dua gol dalam aksi final kedua, itu sudah cukup untuk beliau memintas Bergson dan Xuan Son sebagai penjaring terbanyak kejohanan.