Shopee Cup: Selangor Tumbang, Buriram United Hampiri Kejuaraan
MakanBola
Selangor FC

Buriram United membawa bekalan gol berharga dalam aksi final kedua Shopee Cup dengan menewaskan Selangor FC di Stadium MBPJ.

Selangor bukan saja hadir dengan misi memburu trofi pertama sejak tahun 2015. Malah, ini juga peluang Selangor mencipta sejarah wakil Malaysia pertama menjulang trofi Shopee Cup.

Buriram United pula mencari bekalan gol berharga untuk dibawa ke aksi final kedua. Ini sebahagian daripada misi mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

Chrigor Moraes terus menjadi sandaran gol Merah Kuning. Supachai Chaided dan Suphanat Mueanta menjadi taruhan Mark Jackson untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Guilherme Bissoli dan Goran Causic.

Formasi 3-5-2 yang digunakan Jackson dilihat berkesan mengekang dua pemain sayap Selangor, Alvin Fortes dan kapten, Faisal Halim.

Pergerakan mereka yang masing-masing dikawal Sasalak Haiprakhon dan Kingsley Schindler menyukarkan Chrigor mendapat bola yang diperlukan di bahagian hadapan.

Buriram kemudiannya meraih gol pendahuluan menerusi Suphanat pada minit ke-25. Bintang muda Thailand itu menanduk bola hantaran Theerathon Bunmathan melepasi Sikh Izhan Nazrel.

Fortes hampir menyamakan kedudukan buat Selangor menerusi satu sepakan percuma yang deras. Malangnya, rembatan pemain sayap Cape Verde itu terkena tiang.

Merah Kuning terus mencari peluang menyumbat gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Selangor membuat satu pertukaran dengan memasukkan Zikri Khalili sebagai pengganti Richmond Ankrah.

Selangor terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi usaha mereka terus digagalkan benteng pertahanan pelawat.

Pemain perancang Perancis, Hugo Boumous hampir menceriakan penyokong di Stadium MBPJ dengan gol penyamaan pada minit ke-64. Malangnya, percubaan pemain berusia 30 tahun itu terkena tiang.

Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon memasukkan Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal dan Syahir Bashah untuk mengubah momentum perlawanan.

Walau bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Selangor masih berpeluang bergelar juara dengan syarat mengatasi kelebihan agregat 1-0 dalam aksi final kedua pada 27 Mei.