Kapten Buriram United Puji Impak Chrigor Moraes Di Selangor
MakanBola
SELANGOR FC

Kapten Buriram United, Kenneth Dougall, melontarkan pujian terhadap ketajaman penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes, yang dilihat konsisten meledak gol dan menjadi sandaran utama ‘Gergasi Merah’ musim ini.

Dougall melihat Chrigor Moraes kini tampil jauh lebih menyerlah dan berada pada prestasi terbaiknya, meskipun penyerang itu pernah melalui tempoh sukar ketika menyarung jersi Buriram United dalam saingan Liga Thailand musim 2024/2025

Walaupun kini semakin menyerlah bersama Selangor, aksi konsisten Chrigor sebenarnya tidak mengejutkan Dougall, memandangkan penyerang dari Brazil itu pernah mempamerkan prestasi meyakinkan ketika dipinjamkan ke PT Prachuap FC dengan meledak 10 gol daripada 13 penampilan dalam saingan Liga Thailand.

“Sudah tentu dia (Chrigor) berada di sini (Buriram United) dalam masa yang singkat tetapi kami faham kualiti yang dia ada. Anda tidak akan menandatangani kontrak dengan kelab seperti Buriram jika anda tidak memilikinya. Jadi tidak hairanlah dia telah menyerlah bukan sahaja di sini tetapi juga semasa tempoh pinjamannya di Prachuap.

“Bukan kejutan dia melakukan tugas dengan baik kerana dia pemain yang sangat bagus pada pendapat saya. Sekali lagi, sukar untuk menjaringkan gol dan dia melakukannya secara konsisten tahun ini. Jadi syabas kepadanya. Latihan dan perlawanan adalah berbeza untuk dinilai.

“Kami mempunyai idea tentang bagaimana kami akan menghadapinya tetapi sekali lagi, ia bukan Buriram lawan Chrigor, tetapi Selangor. Jadi ada 10 pemain lain yang perlu kami perhatikan di atas padang. Dan mereka tidak akan berada dalam perlawanan akhir jika mereka bukan pasukan yang baik.

“Jadi ia bukan hanya tentang dia, ia tentang keseluruhan pasukan dan bagaimana kami boleh melaksanakan permainan kami,” jelas Dougall dalam sidang media sebelum perlawanan.

Untuk aksi final ACC Shopee Cup 2025/2026, Buriram United bakal membuat perhitungan dengan Selangor yang menyingkirkan wakil Vietnam, Nam Dinh FC dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Perlawanan akhir itu dijadual berlangsung pada 20 Mei di gelanggang Selangor sebelum bertandang ke venue sendiri bagi menghadapi aksi timbal balik final pada 27 Mei nanti.