Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon meluahkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya sememangnya layak untuk beraksi di pentas final ACC Shopee Cup 2025/2026 selepas mempamerkan aksi terbaik.
Kenyataan itu disuarakan sendiri oleh Kim Pan-gon dalam sidang media selepas aksi separuh akhir kedua yang menemukan Selangor dan Nam Dinh, yang menyaksikan Selangor mencatat kemenangan 2-0 sekali gus mengesahkan tempat ke final dengan agregat 4-1.
“Ia adalah persembahan hebat daripada semua pemain kami. Kami bermain dengan baik. Mereka (pemain) mengikut rancangan kami dengan amat baik.
“Terdapat serangan yang sangat merbahaya dari Nam Dịnh pada awal permainan tetapi kami sangat bersedia untuk menentang mereka dalam situasi tersebut. Kami mendapat gol dan ia sangat penting. Sangat berbangga dengan semua pemain kami dan semua penyokong kami.
“Selangor layak ke final. Kami sememangnya layak ke sana. Kami akan cuba yang terbaik,” jelas Pan-gon seperti yang dipetik oleh Asean Utd.
Untuk aksi final ACC Shopee Cup 2025/2026, Selangor bakal membuat perhitungan dengan Buriram United yang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Perlawanan akhir itu dijadual berlangsung pada 20 Mei di gelanggang sendiri sebelum Selangor bertandang ke venue lawan bagi menghadapi aksi timbal balik final pada 27 Mei nanti.
Sebagai rekod, kejohanan ini merupakan edisi sulung yang dianjurkan, sekali gus menjadikan pasukan yang muncul juara bakal mencipta sejarah tersendiri sebagai kelab pertama menjuarai ACC Shopee Cup 2025/2026 dalam arena bola sepak Asia Tenggara.