Advertisement
Shopee Cup: Terengganu Belasah Shan United
Asia Tenggara
MakanBola
ASEAN United

Terengganu FC akhirnya berjaya mengecapi kemenangan dalam saingan Kumpulan A Shopee Cup apabila membelasah Shan United di Stadium Thuwunna.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan dalam aksi ini. Ini kerana hanya kemenangan saja yang dapat menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir Shopee Cup.

Penyerang Brazil, Efrain Rintaro menjadi sandaran gol Shan’s Warriors. Kuartet serangan Terengganu terdiri daripada Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Manuel Ott dan Engku Nur Shakir Engku Yacob diberi peluang merobek gawang tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan Terengganu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penalti Safawi pada minit ke-11.

Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan tonggak import Shan United, Moussa Bakayoko ke atas pemain Terengganu dalam kotak penalti.

Pemain tengah Filipina, Manuel Ott menggandakan kelebihan Peteh pada minit ke-25. Beliau melepaskan rembatan cantik yang menewaskan penjaga gol Shan United, Kyaw Zin Phyo.

Akhyar hampir meledakkan gol ketiga Terengganu pada minit ke-39. Malangnya, rembatan deras pemain sayap berusia 25 tahun itu dinafikan Zin Phyo.

Bakayoko hampir menebus kesilapannya buat Shan’s Warriors tiga minit selepas itu. Penyokong Shan United hampa apabila rembatannya langsung tidak mengancam penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.

Tuan rumah terus ditimpa malang apabila Peteh dianugerahkan penalti buat kali kedua pada minit akhir babak pertama. Ini selepas pengadil, Koji Takasaki melihat Zwe Htet Min menarik Engku Shakir semasa cuba melarikan bola.

Selain penalti, Takasaki turut melayangkan kad merah kepada Htet Min. Penalti Akhyar memastikan Terengganu selesa dengan kelebihan 3-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, pengendali Shan United, Hiroki Ono memasukkan Mark Sekyi untuk memantapkan barisan pertahanan tuan rumah.

Perlawanan sedikit panas apabila pertelagahan tercetus antara Sekyi dan Nurillo Tukhtasinov. Ini selepas pemain tengah Uzbekistan itu mendakwa pemain Ghana itu memijak kakinya.

Selepas berjaya mengawal keadaan, Takasaki memberi peringatan kepada kedua-dua pemain agar mengawal perasaan mereka di atas padang.

Ott menambah gol ketujuhnya bersama Peteh untuk musim 2024/25 apabila mudah menanduk hantaran Akhyar pada minit ke-63.

Kelebihan empat gol yang dimiliki Terengganu membolehkan Badrul Afzan Razali memasukkan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Ubaidullah Shamsul Fazili sebagai pemain gantian.

Shan United hampir merapatkan jurang menerusi Rintaro pada minit ke-67. Walau bagaimanapun, tolakan lemahnya berjaya dinafikan Rahadiazli.

Shan’s Warriors makin derita apabila Akhyar meledakkan gol kelima Peteh empat minit selepas itu. Meskipun percubaan awalnya dinafikan Zin Phyo, pemain sayap kebangsaan itu berjaya menyempurnakan percubaan susulan.

Shan United kemudiannya terpaksa bermain dengan sembilan pemain. Ini selepas Zwe Khant Min mengutip kad kuning kedua pada minit ke-78.

Terengganu terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini melonjakkan Peteh ke tangga keempat Kumpulan A.

Selepas ini, Terengganu bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 17 Januari. Shan United pula akan menentang Thitsar Arman pada 12 Januari.