Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali ingin melihat pasukan itu meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan A Shopee Cup.
Skuad Peteh gagal meraih kemenangan dalam dua aksi awal kumpulan. Mereka tewas mengejut 3-2 di tangan kelab Kemboja, Svay Rieng.
Terengganu turut hampa apabila diikat Thanh Hoa 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 25 September 2024.
Badrul sedar hanya kemenangan saja yang dapat menghidupkan peluang mereka mara ke separuh akhir Shopee Cup.
“Shan United ialah penyandang juara Myanmar National League, jadi kita akan bertanding dengan menghormati pihak lawan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
“Amat penting bagi kita mendapatkan tiga mata dalam perlawanan esok (hari ini) untuk layak ke pusingan seterusnya.”
Terengganu bakal menentang Shan United tanpa kelibat tiga tonggak import iaitu Nelson Bonilla, Ismaheel Akinade dan Ivan Mamut.
Keadaan ini menyaksikan Terengganu bergantung kepada kudrat penyerang tempatan seperti Syahmi Zamri, Safawi Rasid & Akhyar Rashid untuk memburu gol.
Badrul percaya kelibat mereka mampu ditagih untuk membantu Peteh meraih kemenangan di bumi Myanmar.
“Pasukan tidak memiliki tiga tonggak import yang kita boleh harapkan untuk aksi ini. Tapi saya percaya penyerang-penyerang tempatan mampu beraksi pada tahap terbaik,” tambahnya.
Terengganu bakal berdepan Shan United di Stadium Thuwunna pada 8 Januari.