Wakil Vietnam, Thanh Hoa membuka kempen Kumpulan A Shopee Cup dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Myanmar, Shan United di Stadium Thanh Hoa, Thanh Hoa.
Kedua-dua pasukan masing-masing muncul dengan status juara Vietnamese Cup 2023 dan juara Myanmar National League 2023.
Meskipun begitu, Shan United memiliki kelebihan kerana telah mengharungi beberapa perlawanan liga lebih awal. Sementara Thanh Hoa pula masih melalui proses pra-musim di mana V. League 1 musim 2024/25 membuka tirainya pada 14 September ini.
Kelebihan kecergasan yang dimiliki Shan United pantas dimanfaatkan pada separuh masa pertama. Moussa Bakayoko meletakkan pelawat di hadapan pada minit keenam.
Selepas menerima hantaran Myo Ko Tun, pemain sayap Ivory Coast itu pantas membuat larian ke arah gawang tuan rumah sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Xuan Hoang Trinh.
Tersentak, Thanh Hoa yang dibimbing bekas jurulatih Kelantan, Velizar Popov berusaha mendapatkan gol penyamaan. Yago Ramos hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-19 tetapi percubaannya tersasar.
Bakayoko terus menjadi duri dalam daging kepada Thanh Hoa dengan melepaskan rembatan jarak jauh pada minit ke-35. Walau bagaimanapun, percubaannya dinafikan Hoang Trinh.
Lima minit selepas itu, tuan rumah menyangka telah mendapat sepakan penalti apabila Le Van Thang dijatuhkan dalam kotak penalti. Malangnya, selepas insiden tersebut disemak semula oleh sistem video bantuan pengadil (VAR), keputusan itu dibatalkan pengadil, Kim Woo-sung.
Keadaan ini memastikan Shan United memiliki kelebihan satu gol menuju rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Popov memasukkan tonggak import, Rimario Gordon menggantikan Van Thang untuk menyokong Ramos di bahagian serangan.
Pertukaran tersebut menyaksikan Thanh Hoa terus menguji gawang Shan United yang dikawal penjaga gol, Kyaw Zin Phyo.
Gordon mencipta impak segera dengan menanduk bola melepasi jangkauan Zin Phyo pada minit ke-60. Gol tersebut kembali menyuntik semangat Thanh Hoa memburu kemenangan.
Kesungguhan Ramos memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-72. Penyerang Brazil itu menanduk hantaran rakan senegara, Luiz Antonio meletakkan Thanh Hoa di hadapan.
Tuan rumah terus meningkatkan tekanan untuk mendapatkan gol ketiga. Hasilnya, giliran Antonio pula mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-87.
Keputusan 3-1 ini menyaksikan Thanh Hoa menerajui Kumpulan A buat sementara waktu dengan Shan United di tangga tercorot kumpulan.
Walau bagaimanapun, kedudukan ini dijangka berubah apabila empat lagi pasukan iaitu PSM Makassar, Terengganu FC, BG Pathum United dan Preah Khan Reach Svay Rieng menamatkan aksi pertama mereka.
Selepas ini, Shan United dijangka berdepan Juku Eja pada 25 September. Manakala Thanh Hoa perlu menghadapi cabaran Peteh pada hari yang sama.