Shukor Adan Yakin Peluang Malaysia Hadapi Indonesia B-19
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Shukor Adan yakin dengan peluang anak buahnya menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia B-20 menentang Indonesia pada 31 Ogos ini.

Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama Indonesia, Australia dan tuan rumah pusingan kelayakan, Laos. Meskipun menjalani persiapan singkat, Shukor tidak melihat itu sebagai satu isu.

Sebaliknya, bekas kapten Harimau Malaya itu melihat ini peluang anak buahnya membuka kempen kelayakan dengan keputusan positif.

“Esok, kami akan menentang Indonesia. Bagi saya, para pemain kini sudah bersedia untuk merebut peluang ini dan meningkatkan prestasi mereka bersama pasukan kebangsaan.” katanya pada sesi sidang media pra-perlawanan, memetik sumber BolaKita.

Shukor turut menegaskan tempoh persiapan yang singkat bukan penghalang buat beliau dan barisan kejurulatihan membentuk skuad Malaysia B-19 sebaik mungkin.

Atas sebab itu, beliau yakin barisan pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan esok mampu memberi prestasi terbaik di atas padang.

”Kami mempunyai tempoh persiapan yang singkat. Kebanyakan pemain baru tiba dan menyertai pasukan pada minggu ini kerana sebahagian daripada mereka terlibat dalam beberapa kejohanan di Malaysia.

“Bagi saya, itu bukan alasan. Kami telah membuat persiapan dan menguruskan para pemain dengan sebaik mungkin.

“Apa yang kami lakukan di sini ialah memikirkan bagaimana kami mahu mencapai objektif pasukan dan bagaimana kami akan bersaing dalam perlawanan esok,” tambahnya.

Skuad negara berharap dapat meraih slot kelayakan buat kali pertama sejak edisi 2018 di Indonesia.