Silap Sendiri Punca Jerman Tersungkur Di Tangan Ecuador
MakanBola
Germany Football Team

Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann mengakui kesilapan pasukan itu membawa kepada kekalahan mengejut di tangan Ecuador.

Pada awalnya, Jerman mendahului seawal minit kedua menerusi Leroy Sane. Walau bagaimanapun, dua gol Ecuador memusnahkan harapan Nagelsmann menutup kempen Kumpulan E dengan rekod tanpa kalah.

Bekas jurulatih Bayern Munich itu melihat kekalahan itu sebagai amaran buat anak buahnya agar tidak memandang enteng kepada pihak lawan selepas ini.

Ini kerana beberapa kesilapan yang berlaku dalam perlawanan membuka ruang buat Ecuador untuk mencuri kemenangan dalam aksi berkenaan.

“Kami bermula dengan sangat baik. Malangnya sejurus selepas menjaringkan gol, kami mula melakukan kesilapan-kesilapan menerusi (perubahan) posisi pemain. Itu menyukarkan keadaan.

“Ecuador memiliki sebab untuk bermain dan anda boleh lihat – mereka banyak menyerang. Tapi saya tak boleh kata mana-mana pemain saya tidak beraksi bersungguh-sungguh. Anggapan itu terlalu mudah,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.

Atas sebab itu, jurulatih berusia 38 tahun itu mahu situasi sama tidak berulang apabila Jerman mengharungi pusingan 32 pasukan terbaik.

“Kita akan ambil pengajaran (dari apa yang berlaku) dan terus maju ke depan. Kita kena belajar dan jadi lebih baik tetapi kita juga kena pandang ke depan.

“Kita menang banyak perlawanan, kita tewas sekali dan pada Isnin ini, amat penting untuk kita bermula dengan baik dan memberikan segala-galanya untuk mara ke pusingan seterusnya,” tambahnya.

Jerman dijangka bertemu pasukan ketiga terbaik Kumpulan C, D atau F di pusingan seterusnya. Mereka layak selaku juara Kumpulan E sambil diiringi Ivory Coast dan Ecuador.