Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kempen pramusim dengan mengalahkan kelab Vietnam, Thai Son Bac 3-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Tertutup Pasir Gudang baru-baru ini.
Aksi menentang naib juara liga futsal Vietnam itu dilihat peluang buat anak buah Joao Almeida tampil lebih mantap sebelum kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bermula.
Separuh masa pertama menyaksikan JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Abu Haniffa Hasan.
Thai Son Bac memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat separuh masa dengan gol penyamaan.
Bersambung selepas rehat, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mendapatkan gol.
Ekmal Shahrin kembali menceriakan kem Harimau Selatan dengan mudah menolak hantaran Danial Dain ke dalam gawang Thai Son Bac.
Kelab Vietnam itu meraih gol penyamaan buat kali kedua menerusi gol sendiri Firdaus Ambiah. Percubaan pemain Thai Son Bac terkena badan Firdaus sebelum menewaskan penjaga gol, Zainulzahin Sinuan.
JDT akhirnya meraih kemenangan menerusi penjaring terbanyak mereka dalam saingan MPFL musim lalu, Bruno Taffy. Taffy melepaskan rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Thai Son Bac.
Selepas ini, JDT akan menentang wakil Indonesia, Cosmo JNE dalam aksi persahabatan seterusnya pada 7 April.
Thai Son Bac pula meneruskan kempen pramusim di Malaysia dengan menyertai tiga siri perlawanan persahabatan anjuran skuad futsal Selangor FC. Mereka akan menentang Selangor pada 5 April ini.