Skuad Indonesia Bawah 23 Tahun (B-23) menutup kem latihan pra-Piala Asia B-23 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan mengalahkan tuan rumah 1-0.
Selepas tewas 1-0 kepada Arab Saudi dalam aksi persahabatan pertama beberapa hari lepas, Tim Garuda mahu bangkit semula.
Walau bagaimanapun, tuan rumah juga mahu mencari kemenangan sebagai tonik positif menjelang Piala Asia B-23 2024 yang bakal bermula pada 15 April ini.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol sejak dari awal perlawanan. Pada akhirnya, Witan Sulaeman menjadi wira dengan meledakkan gol kemenangan buat pasukan yang dibimbing Shin Tae-yong itu.
Perlawanan ini merupakan perlawanan terakhir Tim Garuda sebelum bertolak ke Doha, Qatar pada 10 April ini.
Piala Asia B-23 2024 menyaksikan Indonesia berada dalam Kumpulan A bersama Australia dan dua wakil Asia Barat, tuan rumah Qatar dan Jordan.
Tim Garuda bakal membuka kempen Kumpulan A dengan menentang Qatar pada 15 April. Ini disusuli dengan perlawanan menentang Australia pada 18 April dan Jordan (21 April).
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menetapkan sasaran layak ke suku akhir buat anak buah Tae-yong.
Seandainya berjaya layak ke separuh akhir, Indonesia perlu mensasarkan tempat ketiga bersama juara dan naib juara kejohanan.
Ini kerana juara, naib juara dan pasukan yang menduduki tempat ketiga Piala Asia B-23 2024 bakal layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.