Skuad Terengganu FC III terus menghambat dua pasukan teratas Kumpulan A Piala Presiden 2024, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) III dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 17 Tahun (B-17).
Ini selepas pasukan dari Pantai Timur itu mengatasi cabaran Kelantan dalam aksi derby Pantai Timur yang berlangsung di Stadium Mini Persada Plus, Kuala Lumpur.
Meskipun menduduki tangga terakhir Kumpulan A, Kelantan yang dibimbing Ariff Hashim tidak gentar dengan cabaran skuad Penyu.
Separuh masa pertama menyaksikan Terengganu III yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong tampil garang dengan memburu gol awal.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan skuad Kijang diketuai Faris Dinie Mohammad Rusli bekerja keras menafikan asakan skuad Penyu.
Gawang Kelantan akhirnya bocor pada minit ke-23 menerusi pemain tengah Terengganu, Adam Uwais Mohd Armi.
Tersentak, anak buah Ariff berusaha memperkemaskan rentak untuk mendapatkan jaringan penyamaan. Malangnya, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-39 menerusi Shahmeer Rusli.
Kelantan berusaha mendapatkan gol untuk merapatkan jurang dengan skuad Penyu tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, skuad Kijang membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mengembalikan momentum permainan memihak kepada mereka.
Serangan demi serangan terus diatur Kelantan menerusi trio penyerang Haiqal Iqram Che Rosli, Shahril Sobri dan kapten, Khairil Mohd Zain.
Akhirnya, gol yang dicari hadir pada minit ke-76 menerusi pemain gantian, Rahsul Roslan. Walau bagaimanapun, gol tersebut tidak dapat menghalang Terengganu meraih kemenangan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu III di tempat ketiga dengan 16 mata. Sementara Kelantan di tangga tercorot dengan lima mata.
Selepas ini, Terengganu III akan menentang Sabah pada 5 Julai. Sementara Kelantan pula akan turun menentang KL City FC pada hari sama.