Skuad Thailand Bawah 20 Tahun (B-20) mencipta kejutan dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia B-20 2027 dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Thailand yang berada dalam Kumpulan F sedar mereka perlu bekerja keras jika ingin layak ke Piala Asia B-20 2027. Selain Thailand dan UAE, Iraq dan Turkmenistan melengkapkan senarai pasukan dalam kumpulan itu.
Atas sebab itu, Thailand yang dibimbing Jukkapant Punpee mula melancarkan serangan ke atas UAE sebaik wisel perlawanan ditiup. Phongpech Aiemsaard hampir memecah kebuntuan pada minit keempat tetapi digagalkan penjaga gol, Josh Bentley.
Yannick Muller hampir meletakkan UAE di hadapan pada minit ke-36. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Thailand, Poomraphee Siribunyakul.
Siwakorn Ponsan kemudiannya menceriakan kem Gajah Perang dengan gol pada minit akhir babak pertama. Mohamed Al Ali hampir menyamakan kedudukan beberapa minit selepas itu tetapi digagalkan Poomraphee.
Thailand mengekalkan taktik agresif bagi memastikan kemenangan 1-0 milik mereka sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini meletakkan Thailand dan Turkmenistan sebagai pendahulu Kumpulan F dengan tiga mata.
Selepas ini, anak buah Jukkapant akan menentang Turkmenistan pada 3 September ini.