Legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams bersyukur kerana dapat melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Williams berada di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai tetamu DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Legenda ragbi berusia 39 tahun itu hadir untuk melihat sendiri JDT beraksi di SSI untuk aksi ACLE menentang Pohang Steelers pada 18 Februari lalu.
JDT memastikan kemaraan dengan menewaskan wakil Korea Selatan itu 5-2. Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi, Jese Rodriguez dan Jorge Obregon mencetak nama sebagai penjaring.
Williams bukan saja bersyukur kerana dapat melihat pasukan gergasi selatan Malaysia itu mara ke pusingan seterusnya. Malah, beliau cukup bangga dengan Tunku Ismail kerana membina satu pasukan yang hebat di atas padang.
“Alhamdullilah, satu perasaan yang bagus untuk berada di Johor kerana akhirnya bertemu dengan saudara saya, Tunku Ismail dan menjadi saksi (kejayaan pasukan) yang baginda bina,” katanya di X.
Harimau Selatan dijangka bertemu dengan Gwangju FC di pusingan 16 terbaik ACLE. Ini dilihat peluang buat pasukan itu membalas dendam selepas tewas 3-1 kepada lawan sama pada 2024.
JDT kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Perak FC pada 24 Februari.