Sporting JAX Raikan Wan Kuzain Sertai Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Kelab Amerika Syarikat (US), Sporting JAX meraikan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal kerana menerima panggilan kem Harimau Malaya.

Keraian itu dibuat memuat naik hantaran ucapan tahniah kepada pemain tengah berusia 27 tahun itu atas panggilan berkenaan.

“Tahniah kepada Wan Kuzain kerana mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan Malaysia! JAX sentiasa menyokong anda sepanjang tempoh pencapaian besar ini,” kata kelab dalam satu kenyataan. Hantaran sama turut dikongsikan Harimau Abroad.

Kuzain menyertai kem Harimau Malaya pada 21 Julai lalu selepas menyelesaikan komitmen dua perlawanan bersama kelab USL Championship itu.

Selepas membantu Sporting JAX menewaskan Pittsburgh Riverhounds SC, beliau membantu kelab itu meraih satu mata ketika menentang Brooklyn FC.

Seandainya Kuzain dipilih beraksi untuk aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Myanmar pada 25 Julai ini, impian beliau menyarung jersi Harimau Malaya bakal menjadi realiti.

Beliau antara dua pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe. Cheng Hoe turut memanggil bekas penyerang PDRM FC yang berpangkalan di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak.