Kapten Sri Pahang, Stefano Brundo memasang impian untuk mencatatkan kemenangan sekali lagi ke atas Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Sri Pahang akan turun ke Gong Badak untuk bertemu Terengganu dalam aksi Derbi Pantai Timur bagi saingan Liga Super 2024/2024 minggu ke-9 pada Jumaat.
Menurut Stefano Brundo, lawannya nanti merupakan pasukan yang serba lengkap dengan barisan pemain dan jurulatih yang hebat selain merekodkan keputusan yang bagus belakangan ini.
”Terengganu adalah pasukan yang bagus, mereka catat keputusan yang cemerlang, mempunyai pemain-pemain serta jurulatih yang hebat,” ujar Brundo dalam segmen Nadi Bola.
Meskipun begitu, skuad Tok Gajah berikrar untuk memberi saingan sengit buat Terengganu sekaligus meraih satu lagi kemenangan di Gong Badak seperti mana dicapai pada musim 2023.
”Akan tetapi musim lalu kami menewaskan mereka di gelanggang mereka sendiri, jadi kami harapkan musim ini kami dapat mengulanginya sekali lagi,” tambah tonggak kelahiran Argentina ini.
”Kami akan ke sana dan berikan aksi terbaik, beri mereka kesukaran dan tunjukkan kekuatan yang kami miliki serta yang paling penting adalah membawa pulang tiga mata.”
Musim lalu, Terengganu tersungkur di laman sendiri di tangan Sri Pahang dengan keputusan 1-2 hasil jaringan Kpah Sherman dan Azam Azih manakala gol tunggal Sang Penyu disumbangkan Ivan Mamut.
Pertembungan Derbi Pantai Timur antara Terengganu dan Sri Pahang bakal berlangsung pada Jumaat dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.15 malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.