Advertisement
Status Kecederaan Ng Tze Yong Kini Terjawab
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Kecederaan yang dialami pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong beberapa hari lalu kini sudah pun terjawab.

Perkara ini dijawab Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato’ Kenny Goh yang ditemui ketika aksi suku akhir Petronas Malaysia Open 2024 di Axiata Arena.

Beliau mengesahkan bahawa Ng Tze Yong baru sahaja menjalani pemeriksaan kesihatan bersama jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock dan keputusan mendapati Tze Yong mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya.

”Saya diberitahu oleh Datuk Tey Seu Bock bahawa Tze Yong baru sahaja melepas pemeriksaan kesihatan dan didapati ada kecederaan di belakang (Tze Yong)”, jelas beliau ketika ditemui media.

Beliau juga berkongsi bahawa Tze Yong bakal terlepas kejohanan Terbuka India minggu hadapan dan akan memantau keadaan pemain tersebut untuk ke kejohanan seterusnya.

”Buat masa ini, keputusan yang dibuat adalah keluarkan beliau dari (senarai pemain) Terbuka India tetapi untuk minggu berikutnya (kejohanan) Indonesia Masters, mereka akan terus memantau keadaan beliau”, tambah beliau lagi.

Ng Tze Yong mengalami kecederaan ketika pusingan pertama Petronas Malaysia Open 2024 yang lalu seterusnya memaksa beliau menarik diri ketika berhadapan Koki Watanabe dari Jepun.

Oleh itu, status kecederaan yang dialami pemain berusia 24 tahun itu menjadi persoalan dalam kalangan peminat, sama ada kecederaan itu teruk atau pun hanya kecederaan biasa.