Status Mo Salah Buat Mesir Resah
MakanBola
Egypt National Team

Status kecergasan legenda Liverpool, Mo Salah meresahkan Mesir menjelang aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Australia.

Talksport melaporkan Salah dikeluarkan pada minit ke-57 dalam aksi terakhir Kumpulan G menentang Iran. Pada awalnya, pertukaran tersebut dilihat seperti pertukaran pemain biasa.

Meskipun begitu, lensa kamera media mengesan pek ais diletakkan pada bahagian lutut pemain berusia 34 tahun itu. Hal ini membuatkan ramai penyokong Mesir bimbang tentang sejauh mana tahap kecederaan Salah.

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan mengakui bekas bintang AS Roma itu perlu menjalani pemeriksaan untuk menentukan status kecergasan beliau.

“Salah meminta agar dikeluarkan tetapi kita masih tidak tahu tentang diagnosis (kecederaan beliau). Memandangkan beliau merasakan sesuatu (pada baahgian lutut), maknanya ada sesuatu (isu).

“Beliau akan menjalani proses imbasan dan kita harapkan yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Hossam juga yakin Salah akan sempat pulih sebelum perlawanan menentang The Socceroos yang akan berlangsung pada 3 Julai ini.

“Saya bercakap dengan Salah dan beliau akan pulih dan itu bukan kecederaan besar. Kita masih ada masa berbincang dengan staf perubatan.

“Saya fikir beliau akan kembali dan bila saya bercakap dengan Salah, beliau memberi jaminan dirinya akan pulih,” tambahnya.

Mesir mengesahkan kelayakan ke pusingan kalah mati meskipun diikat 1-1 dengan Iran dalam aksi terakhir kumpulan. Keputusan itu sudah cukup membantu Mesir layak selaku naib juara Kumpulan G.