Masalah kecederaan yang menimpa bintang Barcelona, Raphinha meresahkan kem Brazil.
Pemain sayap berusia 29 tahun itu terpaksa menamatkan permainan lebih awal pada minit ke-40 akibat kecederaan. Ini berlaktu ketika Brazil menentang Haiti dalam aksi kedua Kumpulan C.
Situasi itu mendorong jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti memberi penampilan pertama kepada pemain Bournemouth, Rayan di pentas Piala Dunia. Brazil kemudiannya meraih kemenangan 3-0 menerusi dua gol Matheus Cunha dan Endrick.
Selepas perlawanan, Raphinha dilihat berjalan meninggalkan stadium dalam keadaan terincut-incut. Ramai penyokong Selecao bimbang bekas pemain sayap Leeds United itu mengalami kecederaan serius.
Rakan sepasukan dan bintang Real Madrid, Vinicius Jr mengakui merasa bimbang dengan keadaan Raphinha. Beliau berharap kecederaan yang dialami pemenang LaLiga musim lalu itu tidak terlalu serius.
“Kecederaan sentiasa menjadi perkara yang rumit, bukan? Terutama bagi beliau yang merupakan pemain yang sangat penting bagi kami.
“Beliau telah banyak mengalami kecederaan musim ini. Kami berharap kecederaan itu tidak serius dan beliau dapat terus bersama kami sehingga tamat Piala Dunia,” katanya seperti dilaporkan The Touchline.
Raphinha bakal menjalani pemeriksaan pada Sabtu bagi menentukan sejauh mana tahap kecederaan yang dialaminya. Sekiranya kecederaan beliau serius, anak jati Porto Alegre itu terpaksa melupakan kempen Piala Dunia.
Berita ini juga dijangka meresahkan pengendali Barcelona, Hansi Flick. Ini kerana beliau perlu merencana strategi alternatif termasuk mencari pemain baharu untuk kempen musim hadapan sekiranya Raphinha mengalami kecederaan serius.