Status terkini pemain pertahanan Harimau Malaya, Jimmy Raymond menjelang aksi menentang Laos akhirnya terjawab.
Sebelum ini, ramai penyokong tertanya-tanya tentang ketiadaan Jimmy dalam aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Myanmar baru-baru ini.
Ketiadaan bek kanan Kuching City FC itu mendorong jurulatih interim, Tan Cheng Hoe memberi penampilan pertama kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Alif Ahmad.
Kini, Cheng Hoe menjelaskan Jimmy sebenarnya mengalami sedikit kecederaan di bahagian buku lali ketika aksi latihan baru-baru ini.
Pada masa sama, bekas jurulatih Police Tero itu berharap pemain pertahanan berusia 30 tahun itu cergas agar dapat diturunkan dalam aksi kedua Kumpulan B itu.
“Keadaan Jimmy semakin baik. Pada hari itu, kita ada perlawanan latihan dengan beliau mengalami kecederaan pada buku lali.
“Beliau seharusnya sudah bersedia untuk perlawanan esok. Itu bergantung kepada penilaian staf perubatan kita. Saya harap beliau sudah bersedia. Pada masa sama, kita juga memiliki ramai pemain bagus,” katanya.
Sekiranya diturunkan menentang Laos, Jimmy berpeluang menambah penampilan keempat bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.