Advertisement
Steffi Sarge Kaur Ingin Realisasikan Potensi Bola Sepak Wanita Malaysia
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Pemain bola sepak wanita Malaysia, Steffi Sarge Kaur percaya bola sepak wanita di negara ini memiliki potensi ke tahap yang lebih tinggi.

Pandangan tersebut dibuat selepas melihat lebih banyak sokongan diberi kepada sukan bola sepak wanita Malaysia seperti kejurulatihan, infrastruktur, pertandingan dan kewangan.

Ini sama sekali berbeza pada masa lalu di mana pemain seperti Steffi bukan saja perlu berlatih sendiri. Malah, mereka juga tidak mempunyai pertandingan profesional untuk memantapkan bakat yang dimiliki.

Meskipun begitu, Steffi percaya masih ada ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan seperti memperkenalkan sukan bola sepak kepada wanita di peringkat akar umbi.

Ini kerana langkah sebegini bukan saja menambah bilangan pemain berbakat yang boleh dipilih menyertai The Malayan Tigress.

Malah, ini secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi populariti sukan bola sepak dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Sudah tentu, anda boleh jatuh cinta dengan bola sepak pada usia apa-apa, tetapi jika anda bermula lewat, sukar untuk memahami asas-asas dan mengembangkan permainan anda sebagai pemain.

“Lebih mudah untuk mewujudkan dan menggunakan teknik asas pada masa muda anda dan mengembangkan bakat anda – bakat yang kemudiannya boleh memperkukuh pemilihan pemain ke skuad kebangsaan.

“Pada fikiran saya, ini mampu diselesaikan dengan memperkenalkan bola sepak kepada kanak-kanak perempuan sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah. Ia sudah tersedia untuk kanak-kanak lelaki, jadi infrastrukturnya sudah ada.

“Ia hanya perlu dibuka kepada semua pelajar. Langkah mudah ini akan mempunyai kesan besar untuk sukan bola sepak wanita – ini bukan sahaja menambah bilangan pemain dalam kumpulan pemain tetapi meningkatkan populariti umum sukan itu juga,” katanya kepada Persekutuan Pemain Bola Sepak Persatuan Antarabangsa (FIFPRO).

Steffi, 34, turut menghargai sokongan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi Presidennya, Safee Sali.

Ini kerana sokongan yang diberi PFAM dan Safee kepada sukan bola sepak wanita negara memiliki impak besar terutama kepada generasi pemain muda.

“Presiden PFAM, Safee Sali ialah bekas kapten kebangsaan pasukan lelaki dan wira kepada ramai pihak. Beliau datang untuk perasmian Minggu Bola Sepak Wanita (pada Oktober 2023).

“Ini bukan sahaja menunjukkan beliau memberi sokongan yang kuat tetapi ia juga merupakan contoh positif bagi gadis-gadis untuk melihat pemain lelaki yang mereka harapkan untuk menyokong sukan bola sepak wanita,” tambahnya.

Steffi merupakan nama besar dalam sukan bola sepak wanita negara. Ini kerana beliau kerap menyarung lilitan kapten The Malayan Tigress di peringkat antarabangsa.