Bekas pemain Kelantan, S. Subramaniam menggariskan tiga kriteria penting buat pemilik baharu Kelantan FC dalam menyelesaikan kemelut yang sedang melanda pasukan tersebut. Kelantan kini menerima 9 kekalahan berturut-turut dalam saingan liga dan Piala FA.
Pada pandangan Subramanium, pemilik baharu Kelantan perlu mengkaji dahulu apakah punca dan masalah yang sedang dihadapi pasukan Kelantan. Pemilik baharu juga perlu memilih dan melantik orang yang sesuai untuk menguruskan pasukan.
Setelah melakukan dua hal terbabit, kelab kemudiannya boleh memfokuskan tentang hal pemasaran, kejurulatihan, filosofi kelab dan aspek pembangunan akar umbi.
“Saya sarankan pada siapapun yang ingin memiliki pasukan Kelantan, apa yang perlu dibuat adalah mengkaji dahulu apa masalah pasukan. Tentukan orang yang betul untuk urus pasukan dan kemudian barulah fokus pada semua aspek seperti pemasaran, kejurulatihan, filosofi dan pembangunan akar umbi” ujar Subramaniam.

Subramaniam menegaskan bahawa aspek kewangan amat penting bagi pasukan bola sepak, namun aspek kesukanan juga perlulah dititik beratkan agar prestasi kelab berada dilandasan yang betul dan seiring dengan kemajuan kewangan kelab.
Subramaniam juga mengakui sedikit kecewa dengan apa yang menimpa pasukan Kelantan pada musim ini. Walau bagaimanapun, beliau beranggapan Kelantan mungkin dapat memperbaiki kelemahan dan bangkit pada musim hadapan.