Sepanyol melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026 dengan rasa yang bercampur-baur.
Aksi tunggal suku akhir Piala Dunia 2026 berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak Sepanyol ke atas Belgium, hasil jaringan Fabian Ruiz serta Mikel Merino bagi membawa La Roja melayakkan diri ke pusingan separuh akhir pada edisi kali ini.
Kemaraan Sepanyol ini menamatkan penantian panjang selama 16 tahun setelah kali terakhir wakil Eropah itu mara ke pentas separuh akhir Piala Dunia adalah pada edisi 2010, yang menyaksikan mereka muncul selaku juara buat kali pertama.
Di sebalik keraian itu, Sepanyol terlepas peluang mempertahankan rekod kebal di pentas Piala Dunia 2026 selepas pintu gawang yang dikawal Unai Simon akhirnya dibolosi jua oleh penyerang Belgium, Charles De Ketelaere pada minit ke-41.
Jaringan yang tercipta hasil tandukan Charles De Ketelaere itu membuatkan rekod tanpa bolos Sepanyol selama 649 minit di kejohanan Piala Dunia kali ini lebur selepas 6 aksi yang ditempuh dari peringkat kumpulan hingga suku akhir.
Sungguhpun begitu, anak didik Luis de la Fuente masih lagi mengekalkan status sebagai pasukan paling sedikit dibolosi dengan hanya satu jaringan, dalam perjalanan menghadapi Peranic di pentas separuh akhir Piala Dunia nanti.
Aksi Perancis vs Sepanyol akan berlangsung pada 15 Julai hadapan dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 3 pagi waktu Malaysia.