Pingat emas acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menjadi milik Selangor setelah menewaskan tuan rumah, Sarawak pada Jumaat.
Setelah menumbangkan Pulau Pinang 3-0 di separuh akhir, Selangor turun menentang Sarawak yang diberi sokongan penuh para peminat di venue kejohanan.
Kesebelasan utama Selangor diketuai pemain kebangsaan, Syahir Iqbal manakala Sarawak pula menaruh harapan buat Syukimi Farizan di posisi penjaga gol pasukan.
Belum sempat Sarawak menyentuh bola, Selangor sudah meledak jaringan pertama menerusi penyudah Danish Faiz ketika permainan baru memasuki 15 saat.
Selangor hadir dengan serangan Syahir Iqbal dan Zulkifli Abu Hassan setelah itu akan tetapi ketangkasan Syakimi Farizan di gawang Sarawak berjaya menafikan peluang lawan.
Penjaga gol Selangor, Addin Naufal juga mempamer aksi cemerlang dengan beberapa penyelamatan penting yang hadir dilancarkan oleh jentera serangan Sarawak.
Separuh masa pertama tamat, Sarawak 0-1 Selangor.
Kembali dari rehat, anak didik Qusmaini Noor terus utuh mempertahan kubu dengan Sarawak tampak terdesak melakukan serangan bertali arus bagi memburu jaringan penyamaan.
Permainan semakin rancak tatkala tuan rumah mengasak berterusan ke arah gawang lawan berbekalkan semangat dari para penyokong yang tidak henti memberi sokongan.
Ketika Sarawak leka menyerang, Haziq Rashidi meledak gol kedua Selangor pada minit ke-36 bagi memastikan kemenangan mutlak menjadi milik pasukan pelawat.
Aksi di Stadium Tertutup Samarahan berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Selangor.
Dengan ini, pingat emas bagi acara futsal lelaki di Sukma 2024 menjadi milik Selangor manakala Sarawak terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan Perak pula meraih gangsa.