Advertisements
Swiss Open: Dua Regu Lelaki Malaysia Alami Nasib Berbeza
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Dua beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri mengalami nasib berbeza dalam pusingan kedua Swiss Open 2024 hari ini.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang berstatus pilihan ketujuh kejohanan terpaksa akur dengan kehebatan regu Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren.

Dari segi rekod pertemuan, kedua-dua regu masing-masing merekodkan satu kemenangan. Sementara dari segi ranking, Sze Fei-Nur Izzuddin berstatus regu ke-19 dunia berbanding Supak-Kittinupong (regu ke-24 dunia).

Set pertama menyaksikan regu negara itu pada awalnya ketinggalan pada kedudukan 9-4. Bagaimanapun, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya mengejar Supak-Kittinupong sebelum menang dengan keputusan 21-17.

Set kedua menyaksikan Supak-Kittinupong mempamerkan kebangkitan meskipun cuba disaingi Sze Fei-Nur Izzuddin. Pada akhirnya, regu Thailand itu menang dengan keputusan 21-19.

Set penentuan menyaksikan pada awalnya, Sze Fei-Nur Izzuddin mendahului pada kedudukan 8-5. Meskipun ketinggalan, Supok dan Kittinupong bangkit mengikat kedudukan 13-13 sebelum menang dengan keputusan 21-15.

Nasib berbeza pula dialami juara Orleans Masters 2024, Hon Jian dan Haikal apabila berjaya layak ke suku akhir Swiss Open 2024.

Ini selepas mereka mengatasi satu lagi pasangan Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Worappol Thongsa-nga. Kelebihan memihak kepada regu negara kerana pernah mengatasi regu ke-42 dunia itu dalam Indonesia Masters 2024.

Set pertama menyaksikan Pharanyu-Worappol meraih kelebihan awal dengan mendahului pada kedudukan 8-4.

Itu langsung tidak menggugat keyakinan Hon Jian-Haikal yang berjaya mengejar sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-12.

Set kedua menyaksikan regu negara bijak mengawal permainan meskipun cuba disaingi Pharanyu-Worappol. Ketenangan yang dipamerkan mereka memastikan kemenangan set kedua dengan keputusan 21-17.

Hon Jian-Haikal mengiringi satu lagi regu lelaki, Man Wei Chung-Tee Kai Wun dan regu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengesahkan kemaraan ke suku akhir.