Advertisement
Sze Fei-Izzuddin Bakal Beregu Ke-2 Dunia
UltraSukan
UltraSukan
Victor Malaysia

Beregu lelaki nombor satu Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani menerima suntikan semangat menjelang saingan India Open 2025.

Ini kerana juara Arctic Open 2024 itu bakal bergelar beregu nombor dua dunia. Ini berdasarkan kemas kini ranking yang dibuat Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) apabila tamat saingan Malaysia Open 2025.

Sze Fei-Izzuddin berjaya mencapai kedudukan tersebut selepas juara bertahan Malaysia Open, Liang Wei Keng dan Wang Chang tersingkir daripada kejohanan.

Beregu China yang juga pilihan kedua kejohanan disingkirkan wakil Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dengan keputusan 21-17, 21-16 dalam aksi pusingan kedua.

Kegagalan Wei Keng-Wang Chang mempertahankan gelaran juara yang diraih pada 2024 membolehkan Sze Fei-Izzuddin memintas kedudukan mereka.

Juara China Open 2024 itu menyamai pencapaian rakan senegara dan bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Ini kerana Aaron-Wooi Yik berjaya melakar pencapaian ranking kedua dunia pada 24 Januari 2023. Sze Fei-Izzuddin bakal mengetuai cabaran enam regu lelaki dalam saingan India Open 2025.

Selain mereka dan Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut menyertai kejohanan sama.