Advertisement
Takahiro Kunimoto Miliki 3 Aset Berharga, Bantu Kukuhkan Dominasi JDT
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Perancang tengah baharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Takahiro Kunimoto memiliki beberapa kelebihan penting untuk membantu pasukan dalam saingan musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu melengkapkan perpindahan ke JDT setelah beraksi bersama kelab Portugal, Casa Pia sebelum ini.

Kudrat prospek berbakat Jepun ini sudah pasti bakal menjadi sandaran utama Harimau Selatan tatkala pemain tengah utama, Leandro Velazquez kini mengalami kecederaan jangka panjang.

Berdasarkan analisis terhadap gaya permainan pemain yang mesra disapa Kuni ini, beliau memiliki tiga kelebihan utama yang diperlukan oleh JDT.

Malah, sebilangan penyokong bekas kelabnya menganggap JDT beruntung membawa masuk pemain sepertinya.

1. Teknik sepakan jarak jauh yang luar biasa.

Pemain lincah ini terkenal dengan kualiti sepakan beliau yang cukup tepat ketika bersama pasukan Jeonbuk Hyundai.

Malah, kebanyakan jaringan yang dilakukan oleh bekas pemain bawah 20 tahun Jepun ini adalah menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Kualiti yang dimiliki oleh Kuni sudah pasti akan memberi banyak masalah kepada lawan tatkala kebanyakan pasukan di Liga Super mengambil pendekatan pasif berdepan JDT.

2. Kemampuan hantaran berkelas tinggi.

Kuni dilihat memiliki kualiti gabungan antara Leandro Velazquez dan Juan Muniz.

Tatkala Leandro terkenal kerana kehebatan distributions dan hantaran-hantaran pendeknya manakala Juan Muniz merupakan pemain yang gemar melakukan hantaran jauh yang berkualiti.

Kuni bagaimanapun dikesan memiliki kombinasi keduanya apabila beliau dilihat selesa melakukan kedua-dua jenis hantaran yang diperlukan oleh pasukan bimbingan Tano Solari.

3. Kualiti selaku pemain tengah menyerang yang baik.

Kuni merupakan pemain tengah moden yang cukup baik. Beliau gemar melakukan larian-larian ke dalam kotak penalti.

Malah, bekas bintang Gyeongnam ini dikenali dengan keberaniannya untuk melakukan gelecekan dan dribble ke dalam kawasan berbahaya lawan.

Aset berharga ini bakal memberi nilai tambah kepada JDT untuk membelah pertahanan lawan yang gemar bermain secara low-block.

Kesimpulan:

Kehadiran Kunimoto jelas diperlukan dalam skuad ampuh JDT untuk memberi lebih banyak pilihan kepada Solari untuk membentuk percaturan terbaik.

Ujian sebenar beliau adalah untuk membantu pasukan melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.

Pautan: Aksi luar biasa Kunimoto di Jepun.