Taktik licik skuad Vietnam Bawah 19 Tahun (B-19) hampir mencetuskan pergaduhan antara pasukan itu dan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-19 ASEAN 2026.
Taktik yang dimaksudkan ialah cubaan staf kejurulatihan Vietnam mengganggu pemain Indonesia ketika cuba membuat lontaran ke dalam.
Taktik tersebut dikesan ketika pemain Indonesia, Fabio Azka Irawan cuba membuat lontaran ke dalam. Staf kejurulatihan Vietnam dilihat sengaja menghalang laluan Fabio dengan meletakkan botol air di kawasan teknikal.
Pemain muda Persija Jakarta itu kemudiannya menolak staf kejurulatihan berkenaan dan merasa hairan dengan tindakannya. Hal ini hampir mencetuskan perbalahan antara pemain dan staf kedua-dua pasukan.
Selepas berjaya menenangkan keadaan, pengadil perlawanan kemudiannya mengarahkan staf kejurulatihan Vietnam itu keluar dari kawasan teknikal.
Pada akhirnya, taktik tersebut tidak berkesan apabila Indonesia menewaskan Vietnam 2-1 sekaligus mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A.
Ini bukan kali pertama Vietnam menggunakan taktik tersebut ke atas pasukan lawan. Taktik licik ini juga dikesan ketika dalam aksi Mandiri Cup 2025 antara kedua-dua pasukan itu.
Taktik sengaja meletakkan botol air ketika Robi Darwis cuba membuat lontaran mencetuskan kemarahan bangku kejurulatihan Indonesia. Akibatnya, penolong jurulatih ketika itu, Damian Van Rensburg diarah keluar padang.