Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi komen mengenai persembahan beliau dalam acara pecut di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.
Azizulhasni yang turun dalam acara pertamanya bermula cemerlang sebelum terpaksa akur tersingkir di pusingan 1/8 meskipun berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
”Alhamdulillah di pusingan kelayakan (acara pecut) saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan Asia tetapi Kaiya Ota memecahkannya semula (rekod Asia),” ujarnya kepada Zulhelmi Zainal Azam.
Menurut Azizul, beliau telah mencuba sehabis baik namun kelebihan jelas memihak pelumba-pelumba yang memiliki fizikal yang lebih besar dengan keadaan trek di Paris ini.
“Sepertu yang John Beasley jangkakan, trek ini lebih memihak kepada pelumba yang bersaiz besar. Kita cuba menggunakan gear terbesar yang kita ada tetapi itu tidak mencukupi.”
Tambah beliau lagi, segalanya sudah sempurna buatnya ketika berdepan Hoogland, namun kekurangan dari segi kelajuan dimanfaatkan Hoogland untuk muncul pemenang dalam pusingan 1/8 itu.
“Dalam acara pecut ini, saya menewaskan Luca Spiegel dari Jerman kemudian menewaskan wakil Great Britain, Hamish Turnbull yang lebih pantas di pusingan kelayakan.”
“Kemudiannya, di peringkat 1/8, saya bertemu (Jeffrey) Hoogland, salah seorang pelumba terbaik di pusingan kelayakan dan cuba berikan aksi terbaik yang saya ada.”
”Pada perlumbaan (berdepan Hoogland), secara taktikal semuanya sudah sempurna, cuma saya tidak mempunyai kelajuan yang cukup,” ujar Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocket Man.
Datuk Azizulhasni bakal meneruskan saingan di Paris bersama Shah Firdaus dalam dalam acara keirin pada Sabtu, 10 Ogos jam 11 malam waktu tempatan.