Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengesahkan kemaraan ke pusingan 1/8 acara pecut individu Olimpik 2024.
Pelumba berusia 36 tahun itu mengatasi cabaran wakil Great Britain, Hamish Turnbull dalam perlumbaan saringan ketujuh 1/16.
Azizulhasni menjadi satu-satunya wakil negara di pusingan 1/16 acara pecut individu. Ini selepas seorang lagi jaguh negara, Shah Firdaus Sahrom terkandas dalam saingan repechage 1/32.
Turnbull menjadi pemisah antara Azizulhasni dan pencapaian ke suku akhir. Dan pelumba berusia 25 tahun itu turut membawa misi memburu pingat buat Great Britain.
Turnbull masih segar daripada kejayaan meraih pingat perak acara pecut berpasukan bersama Great Britain. Pasukan itu tewas kepada Belanda yang turut mencipta rekod dunia untuk acara berkenaan.
Pencapaian anak jati Morpeth, Northumberland itu langsung tidak menggugat Azizulhasni. Sebaik saringan ke-10 bermula, juara dunia 2017 itu meletakkan dirinya di hadapan.
Turnbull berusaha mencari ruang untuk memintas Azizulhasni tetapi tidak berhasil. Dan itu sudah cukup buat beliau bergelar pemenang saringan ke-10 dengan catatan masa 9.866 saat.
Pencapaian ini sekaligus menyaksikan beliau mengulangi pencapaian layak ke pusingan 1/8 di temasya edisi 2020 di Tokyo, Jepun.