Pemain pertahanan Kawasaki Frontale, Takuma Ominami mahu pasukannya mendominasi permainan apabila turun berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Todoroki.
Dalam sidang media pra perlawanan tersebut, pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan bahawa mereka mahu mencatatkan kemenangan di laman sendiri memandangkan ini aksi terakhir mereka di gelanggang mereka bagi tahun ini.
Beliau juga mahu pasukannya itu menempah slot ke pusingan seterusnya dengan kekuatan mereka itu sendiri, tanpa mengharapkan keputusan perlawanan lain.
“Ini perlawanan terakhir kita di tempat sendiri, jadi kita mahu menang dan layak dengan kekuatan kita sendiri,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.
Beliau yang terpaksa berehat selama 10 bulan sebelum ini akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) juga yakin dengan kemampuan rakan sepasukan apabila menyerang dan akan menguasai bola untuk melancarkan serangan dengan lebih lama ke arah kubu gol JDT.
“Kita memiliki ramai pemain yang bagus bila menyerang, jadi kita akan menyimpan bola (lama) supaya kita dapat menyerang dengan lebih lama,” jelasnya menurut Sponichi.
Perkara ini terbukti apabila naib juara Liga J1 2022 itu telah berjaya menjaringkan empat gol dalam kedua-dua perlawanan terakhir mereka dalam saingan ACL ini.
Ketika ini, Kawasaki Frontale mengungguli carta kumpulan I dengan 12 mata manakala pasukan JDT berada di tangga ketiga kumpulan dengan 6 mata.