Nama Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilaporkan berada dalam radar pasukan utara tanah air, Penang FC.
Nama bekas jurulatih Selangor FC itu timbul selepas wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran mendedahkan Cheng Hoe antara jurulatih yang telah ditemu duga oleh pengurusan Sang Harimau Kumbang.
Ini dilihat sebahagian daripada perancangan Penang mengenal pasti jurulatih yang mampu membawa pasukan itu lebih ke hadapan untuk musim 2026/27.
Selain Cheng Hoe, Penang turut menemu duga bekas jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil dan jurulatih Kedah FA, Victor Andrag. Avineshwaran turut memaklumkan nama jurulatih pasukan itu, Wan Rohaimi Wan Ismail berada dalam senarai sama.
“Difahamkan bahawa Penang telah menemu duga beberapa calon untuk jawatan jurulatih. Jurulatih (Penang) sekarang, Wan Rohaimi Wan Ismail adalah sebahagian daripadanya.
“Jurulatih lain (yang dilaporkan telah ditemu duga) ialah Nidzam Jamil, Tan Cheng Hoe dan Victor Andrag,” katanya di X.
Sekiranya Cheng Hoe menjadi pilihan Penang, beliau bakal kembali mewarnai Liga Super sebagai jurulatih buat kali pertama sejak musim 2023.
Sebelum menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Cheng Hoe pernah membimbing Selangor, Kedah, Police Tero FC dan skuad senior Malaysia.
Selain Penang, beliau juga pernah dikaitkan dengan pasukan Pantai Timur, Terengganu FC sebagai calon pengganti Badrul Afzan Razali.