Lima pemain Harimau Malaya yang beraksi dalam saingan ASEAN Hyundai Cup dikekalkan Tan Cheng Hoe untuk kempen FIFA ASEAN Cup.
Lima pemain tersebut ialah Sergio Aguero, Azri Ghani, Ubaidullah Shamsul Fazili, G. Pavithran dan Faris Danish Asrul. Ini berdasarkan senarai 23 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Cheng Hoe memilih lima pemain ini susulan prestasi cemerlang yang ditampilkan mereka dalam saingan ASEAN Hyundai Cup.
Hal ini turut disokong dengan data platform Sofascore. Azri, Aguero dan Ubaidullah terpilih dalam skuad terbaik kejohanan dengan masing-masing mendapat 7.38, 7.25 dan 7.32 mata.
Pavithran dan Faris Danish pula mencuri perhatian peminat bola sepak negara apabila tidak kekok beraksi dalam kesebelasan utama meskipun masing-masing berusia 21 dan 20 tahun.
Malah, Pavithran membentuk gandingan serangan berbisa bersama kapten, Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh. Faris Danish pula menunjukkan persembahan menyakinkan di bek kiri selepas diberi peluang beraksi menentang Filipina.
Hal ini menunjukkan kudrat lima pemain ini boleh ditagih Cheng Hoe bagi mengharungi kempen FIFA ASEAN Cup yang akan bermula pada hujung bulan ini.
Lebih menarik, tiga lagi tonggak skuad negara yang beraksi dalam ASEAN Hyundai Cup juga berpotensi menyertai kem kali ini sekiranya wujud situasi kecemasan seperti kecederaan.
Tiga pemain yang diletakkan dalam senarai menunggu ialah Josue, Syafiq Ahmad dan Aliff Haiqal Lau.