Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe, mengakui jaringan pembukaan yang disempurnakan Paulo Josue memberi impak besar terhadap corak permainan Malaysia ketika menentang Laos dalam aksi kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 pada Selasa.
Menurut Cheng Hoe, jaringan pemain berusia 37 tahun itu telah menyuntik keyakinan tinggi dalam kalangan pemainnya, sekali gus membakar semangat pasukan untuk terus memburu gol-gol seterusnya.
“Kalau kalian lihat dalam aksi (bertemu Laos), pada separuh masa pertama, para pemain agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pasukan lawan yang dilihat kuat di blok sendiri.
“Adalah satu perkara yang baik apabila ketua pasukan kita, Paulo Josue dapat menjaringkan gol pertama dan itu memberikan keyakinan. Separuh masa kedua, kita beraksi dengan baik dan semakin baik. Bila kita keyakinan, jaringan akan menjelma,” jelas Cheng Hoe kepada media dalam sesi sidang media selepas perlawanan bertemu Laos.
Pada aksi menentang Laos, Malaysia mempamerkan aksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri apabila mencatat kemenangan bergaya 4-0. Empat gol skuad Harimau Malaya dijaringkan menerusi Paulo Josue, Endrick dos Santos, Wan Kuzain Wan Kamal, manakala satu lagi hadir hasil jaringan sendiri pemain Laos.
Kejayaan menundukkan Laos menyaksikan Malaysia meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen ASEAN Hyundai Cup 2026 selepas membuka saingan dengan menewaskan Myanmar di gelanggang lawan.
Malaysia bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadualkan bertandang menentang gergasi Asia Tenggara, Thailand, pada 1 Ogos ini. Sementara itu, Laos yang sudah mengalami dua kekalahan berturut-turut akan melayan kunjungan Myanmar pada tarikh yang sama.