Tangisan Penjaga Gol Qatar Sarat Seribu Makna
MakanBola
Qatar FA

Tangisan penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada selepas perlawanan pertama Kumpulan B Piala Dunia 2026 menentang Switzerland cukup bermakna.

Ini kerana penjaga gol berusia 26 tahun itu memastikan juara Piala Asia 2023 itu berjaya meraih mata Piala Dunia pertama dalam sejarah sukan Qatar.

Ramai peminat bola sepak menjangkakan memori edisi 2022 akan berulang dalam edisi kali ini. Ini kerana edisi tersebut menyaksikan Qatar gagal meraih sebarang mata sebagai tuan rumah dan tersingkir seawal perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Ini ditambah dengan Switzerland yang dibimbing Murat Yakin mendominasi permainan. Kebimbangan penyokong Qatar seakan menjadi realiti apabila Mahmoud melanggar Remo Freuler dalam kotak penalti.

Meskipun pemain tengah Bologna itu dikatakan berada pada kedudukan ofsaid, penalti diberi kepada Switzerland. Breel Embolo tidak berdepan masalah menewaskan Mahmoud.

Switzerland memiliki banyak peluang untuk meraih kemenangan selesa tetapi tidak berhasil. Selain itu, Mahmoud turut mempamerkan aksi cemerlang dengan menangkis setiap percubaan gol pasukan ke-19 dunia itu.

Kegagalan Switzerland menambah gol dihukum pada minit akhir permainan menerusi tandukan Boualem Khoukhi. Itu juga memastikan Qatar memadamkan memori buruk edisi 2022.

Tidak hairanlah jurulatih Qatar, Julen Lopetegui berbangga dengan prestasi cemerlang pasukan itu sepanjang perlawanan termasuk Mahmoud.

“Saya sangat berbangga dengan pasukan ini. Saya memberitahu mereka bahawa walaupun kami tidak menjaringkan gol dan tidak seri, saya pasti akan berbangga dengan mentaliti dan disiplin yang mereka tunjukkan hari ini.

“Tetapi mujurlah kami menjaringkan gol dan itu menjadi sejarah. Kami agak bernasib baik kadangkala tetapi anda perlu percaya dan berusaha untuk mendapat sedikit tuah dalam hidup dan dalam sukan. Jadi kami sangat gembira untuk para pemain,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Persembahan cemerlang Mahmoud turut diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan.