Advertisement
Tano Solari Bagi Bayangan Kembali Ke Malaysia
Transfer
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Tano Solari memberi bayangan bakal kembali ke Malaysia.

Pengendali berusia 44 tahun itu mengumumkan perpisahan dengan kelab Chile, CD Everton selepas hanya bersama selama 9 bulan.

Masa depannya menjadi tanda tanya tatkala harapan besar peminat Malaysia mahu menyaksikan kepulangannya mula menjadi bualan.

Beliau pernah berkhidmat bersama JDT selama satu musim bermula Januari hingga Disember 2023 selain membantu skuad Harimau Selatan meraih 4 trofi domestik.

Tano Solari bagaimanapun memberi bayangan bahawa beliau berpotensi untuk kembali ke Malaysia selepas memberikan respon positif terhadap komen-komen yang ditinggalkan pada ruangan Instagramnya.

“Selamat datang ke Harimau Malaya Tano.

“Selamat pulang ke rumah, Tano,” ujar peminat di laman Instagramnya.

Beliau memberikan tanda suka terhadap respon-respon daripada peminat bola sepak Malaysia sekaligus memberikan gambaran lebih kukuh terhadap destinasi baharunya.

Sepanjang bersama JDT, bekas pengendali Argentina B-20 ini merekodkan purata 2.75 mata daripada 44 perlawanan yang diharungi.

Seorang lagi calon yang berpotensi untuk membimbing Harimau Malaya ialah Benjamin Mora yang juga sudah meninggalkan York United baru-baru ini.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung pengganti posisi Ketua Jurulatih Malaysia dengan Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memberi bayangan penstrukturan badan induk itu akan diumum dalam tempoh terdekat.