Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Bin Mohd Amin menjelaskan bahawa penstrukturan baharu badan induk bakal diumumkan tidak lama lagi.
Pada Rabu, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-13 bagi penggal 2021-2025 telah berlangsung di Wisma FAM yang menyaksikan Hamidin tidak akan mempertahankan jawatan presiden beliau.
Dalam masa yang sama, Hamidin turut berkongsi mengenai penstrukturan baharu bagi badan induk bola sepak negara itu yang ketika ini menjadi bualan hangat para peminat.
”Mungkin ada yang tertanya tentang struktur baharu FAM bagi pasukan kebangsaan, bawah 23 dan bawah 19 tahun,” ujar Hamidin ketika sesi sidang media.
Menurut beliau, pihak FAM sedang berada di peringkat akhir sebelum mengumumkan penstrukturan baharu badan induk itu yang dijangka berlaku dalam masa terdekat ini.
”(Bagi) perkara tersebut (penstrukturan baharu), FAM akan buat pengumuman rasmi dalam masa terdekat, maksudnya dalam bulan ini (Disember) juga,” kata Hamidin kepada pihak media.
”Kami sedang memuktamadkan sedikit sahaja lagi kemudian kita akan umumkan struktur baharu FAM itu, in shaa Allah dalam bulan ini (Disember) juga,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai struktur baharu FAM yang didedahkan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam satu hantaran di Instastory.
Hantaran tersebut memaparkan carta organisasi termasuklah posisi seperti Penasihat Sukan, Pengarah Teknikal, Ketua Operasi, Ketua Jurulatih dan lain-lain.