Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan bakal membuka era baharu Harimau Malaya.
Baginda sebelum ini dikaitkan untuk mengambil alih kepimpinan skuad kebangsaan sekaligus memacu lebih banyak kejayaan buat skuad negara.
DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran memberi bayangan sudah pun memiliki pelan lengkap susunan organisasi yang dijangka bakal mengemudi skuad kebangsaan.
Hantaran tersebut memaparkan carta organisasi termasuklah posisi seperti Penasihat Sukan, Pengarah Teknikal, Ketua Operasi, Ketua Jurulatih dan lain-lain.
Baginda sebelum ini telah pun bertemu dengan Ketua Umum PSSI, Erick Thohir dan membincangkan beberapa perkara penting untuk mengangkat martabat bola sepak Asia Tenggara.
“Perbincangan tertumpu kepada adegan bola sepak di rantau ini terutamanya pembangunan bola sepak, pengurusan dan garis panduan kelab bola sepak untuk meningkatkan standard bola sepak di rantau ini khususnya di negara ASEAN.
Tunku Ismail bahkan memuji Eric Thohir kerana memberi kejayaan pasukan kebangsaan Indonesia dan menyatakan keyakinan bahawa bola sepak ASEAN masih mempunyai masa yang cerah.
Harimau Malaya bakal menempuhi dua ujian iaitu Piala ASEAN 2024 dan juga Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun hadapan.