Advertisement
Tano Solari: Pasukan Seperti Inilah Yang JDT Cari Untuk Bersaing
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Tano Solari mengharapkan tiga mata penuh diraih anak buahnya dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) berdepan Ulsan Hyundai pada esok.

JDT bakal turun di gelanggang sendiri melayan kunjungan Ulsan Hyundai untuk aksi keempat saingan Kumpulan I ACL 2023.

Ketika sesi sidang media pra-perlawanan, ketua jurulatih JDT ini percaya anak buahnya sudah tidak sabar untuk beraksi sepenuh tenaga berdepan gergasi dari Korea Selatan ini. Beliau bagaimanapun tidak mahu memandang rendah dan menganggap Ulsan Hyundai merupakan sebuah pasukan yang digeruni di Asia.

“Ya, sudah tentu. Ini ACL, semua orang ambil serius tentang perkara ini. Semua orang mahu melepasi pusingan seterusnya dan sejujurnya, bukan pasukan Ulsan sahaja. Ulsan ialah pasukan dari Korea Selatan di mana pada tahun lepas, mereka negara Asia yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia.”

“Mereka mempunyai enam pemain yang beraksi untuk pasukan kebangsaan dan kita tahu kualiti pemain yang dimiliki Ulsan. Tetapi bagi kita, pasukan seperti inilah yang kita cari untuk bersaing dengan kita.”

Jurulatih dari Argentina ini juga menzahirkan rasa teruja dapat membawa JDT beraksi di pentas tertinggi Asia ini. Beliau akui JDT sememangnya mahukan cabaran dan mahu beraksi menentang pasukan-pasukan gergasi di Asia ketika ini.

“Seperti yang saya katakan, kita gembira dengan persembahan kita. Tak kira sama ada kita beraksi di sini atau di luar negara, falsafah kita tetap sama. Kita pasukan yang ada identiti tetapi kita masih perlu jadi lebih baik.”

“Pertandingan ini menunjukkan jika anda melakukan kesilapan kecil, anda akan dihukum. Itu yang saya katakan kepada para pemain masa untuk fokus ke pusingan seterusnya dan cuba jadi pasukan yang lebih kuat daripada apa yang kita ada. Kita tidak fokus kepada mereka, kita fokus kepada penambahbaikan kita dan esok kita akan tunjukkan,” ujar Tano Solari kepada Astro Arena.

JDT bakal berdepan Ulsan Hyundai pada esok, 7 November 2023. Perlawanan ini dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim jam 8 malam.