“Tanya Ubaidullah Shamsul, Apa Beza Dulu & Sekarang?”
MakanBola
Malaysia NT

Prestasi yang ditampilkan oleh pertahanan muda negara, Ubaidullah Shamsul dilihat cukup memberangsangkan.

Harimau Malaya berjaya mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang pasukan ke-72 dunia, Cape Verde pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski tampil untuk memuji kualiti pemain muda negara yang berjuang sehabis baik untuk mendapatkan tempat dalam skuad negara.  

“Sudah tentu kita boleh menghasilkan lebih banyak pemain seperti Ubaidullah Shamsul. Kita ada 6 pemain muda pada Fasa 1 kem Harimau Malaya.

“Ini juga membentuk model yang terbaik untuk skuad Malaysia B-23. Jika kamu bertanya kepada Ubaidullah, apa bezanya dulu dan sekarang, ia adalah tentang usaha pasukan dan tahap yang kita cuba capai setiap hari,” katanya selepas perlawanan.

Jurulatih kelahiran Australia itu juga berharap agar Malaysia dapat layak ke pentas Piala Asia secara merit sekali lagi seterusnya membuka ruang buat lebih ramai pemain untuk beraksi pada pentas tertinggi Asia, termasuklah mencipta sejarah ke Piala Dunia suatu hari nanti.

“Kita mahu membina sesuatu yang istimewa untuk bola sepak Malaysia. Kita mengejar impian untuk layak ke Piala Asia sekali lagi.

“Ubaidullah pula baru berusia 22 tahun. Dalam 5 tahun dan sekiranya kita layak ke pentas Piala Dunia, beliau berada pada usia yang amat baik,” tambahnya.

Malaysia akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Cape Verde pada 3 Jun 2025 secara tertutup di Stadium Nasional, Bukit Jalil.