Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah pasti mampu menarik nafas lega menjelang misi di Guangzhou, China, hujung minggu ini.
Skuad kebangsaan baru sahaja menamatkan kempen sulung Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia di tempat ketiga, tanpa sekali pun tewas dan tanpa bolos walau satu gol.
Pencapaian itu menjadi modal berharga ketika skuad negara bersiap menghadapi ujian lebih besar, iaitu menentang pasukan yang sudah layak ke Piala Asia.
Cheng Hoe memiliki sebab tersendiri untuk berbangga dengan rekod itu. Malaysia membuka tirai dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, kemudian menahan tuan rumah Indonesia 0-0 dan membelasah Singapura 6-0. Malaysia juga melakar kemenangan 1-0 ke atas Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga, kemenangan pertama ke atas skuad Bintang Pahlawan Emas sejak 2014.
Jurulatih interim berusia 58 tahun itu bagaimanapun tidak memanggil seorang pun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk misi ke China. Ini bermakna Harimau Malaya bergerak tanpa duo utama, Bergson da Silva dan Arif Aiman, serta Stuart Wilkin, Manuel Hidalgo dan La’Vere Corbin-Ong. Ketiadaan Bergson paling terasa. Penyerang kelahiran Brazil itu meledak empat gol di Piala ASEAN, termasuk hatrik ketika membenam Singapura.
Kekosongan itu bagaimanapun boleh diisi oleh dua pemain yang sedang pada kemuncak prestasi termasuklah Fergus Tierney. Beliau ialah wira ketika menentang Vietnam. Sebaik dimasukkan menggantikan Bergson, pemain muda ini menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-62 hasil hantaran Hidalgo. Beliau kini beraksi bersama PAC Omonia 29M dan menjadi pemain Malaysia pertama di liga utama Cyprus.
Penyerang kelahiran Glasgow itu semakin serasi dengan bola sepak Eropah. Fergus sudah mencatat dua gol dan satu bantuan gol dalam lima aksi liga. Minggu lalu, dia menjaringkan gol menggunakan tumit ala Cristiano Ronaldo dalam Piala Cyprus, ketika Omonia 29M membelasah AEP Polemidia 6-2.
Seorang lagi tonggak berbisa ialah Richard Chin, yang kembali disenaraikan selepas kali terakhir dipanggil pada Oktober 2025. Musim lalu, Chin bergelut mendapatkan minit permainan bersama Raith Rovers. Kini, bersama Ross County, pemain berusia 24 tahun ini sudah meledak lapan gol dan empat bantuan gol dalam 24 penampilan pada semua kejohanan.
Graduan akademi Charlton Athletic itu menjaringkan gol terbaharunya ketika Ross County menundukkan Peterhead 4-1, sekali gus mengekalkan kelab itu di puncak Scottish League One dengan kelebihan lima mata.
Ketika ini, situasi di kem China pula sangat berbeza. Selepas menewaskan Maldives 3-0 pada September, Naga Merah tewas tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri di Chongqing. Mereka kalah 0-3 kepada New Zealand dan dibelasah 0-5 oleh Palestin, kekalahan pertama dalam sejarah kepada pasukan itu.
Mereka kemudiannya tunduk 0-1 kepada Tajikistan, juga kali pertama dalam sejarah. Daripada tiga perlawanan itu, China bolos sembilan gol tanpa menjaringkan sebarang gol, dan sebahagian penyokong sendiri mendesak skuad kebangsaan dibubarkan.
Aksi persahabatan Tier 1 itu akan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Tianhe, Guangzhou, Sabtu ini (14 November) jam 8 malam. Selepas itu, Malaysia akan menentang Yemen pada 17 November.
Dua perlawanan itu penting untuk mengutip mata ranking FIFA bagi mendapatkan pot lebih baik dalam undian kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.
Di atas kertas, China (ke-96) masih jauh di hadapan Malaysia (ke-133). Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Chengdu pada September 2023 pula berakhir 1-1. Namun begitu, dengan pertahanan yang belum bolos dan dua penyerang dalam prestasi terbaik memberi tonik tambahan kepada pasukan kebangsaan.
