Harimau Malaya

Kelayakan Piala Asia B-17: Misi Besar Malaysia Kejutkan Singapura

Copy of Thumbnail Artikel MB Wan 20261110 180117 0000 Kelayakan Piala Asia B-17: Misi Besar Malaysia Kejutkan Singapura
Malaysia NT
Advertisements

Kekalahan 0-2 skuad Malaysia B-16 kepada Palestin pada aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pastinya bukan permulaan yang diharapkan.

Kini, perhatian pasukan kendalian Shukor Adan terarah kepada satu misi besar iaitu bangkit menentang Singapura dalam aksi kedua Kumpulan E pada 14 November ini.

Pertembungan Malaysia menentang Singapura bukan sekadar perlawanan biasa. Ia berpotensi menjadi titik perubahan kepada perjalanan Harimau Muda dalam usaha memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan.

Selepas dikecewakan Palestin, Malaysia tidak mempunyai banyak ruang untuk melakukan kesilapan sekali lagi. Tiga mata menjadi sasaran penting sekiranya skuad negara mahu terus menghidupkan peluang untuk muncul juara Kumpulan E.

Menurut Shukor Adan, fokus utama kini adalah memastikan para pemain kekal bersemangat dan bermotivasi tinggi menjelang perlawanan seterusnya menentang Singapura.

“Dalam kejohanan seperti ini, kekalahan sememangnya bukan sesuatu yang menggembirakan. Akan tetapi, perkara paling penting adalah memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya selepas aksi malam ini serta mencari cara untuk membangkitkan semangat para pemain agar mereka tidak terus berasa kecewa.

“Saya percaya para pemain juga amat kecewa di bilik persalinan susulan kekalahan malam ini kerana mereka yakin mampu meraih kemenangan.”

Mengulas mengenai kekalahan itu, beliau mengakui kekecewaan pemain namun menegaskan kepentingan untuk segera bangkit menghadapi perlawanan seterusnya.

“Justeru, perkara paling penting sekarang adalah untuk memberikan semangat dan motivasi kepada para pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Singapura selepas ini,” kata Shukor Adan memetik laporan pasca-perlawanan oleh BolaKita.

Selepas ini, skuad remaja negara bakal meneruskan cabaran dengan menentang Singapura pada 14 November, jam 9.00 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Singapura hadir dengan misi memburu kemenangan kedua selepas membelasah Guam 6-0, manakala Malaysia pula mengintai kemenangan sulung dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027.