Selepas enam tahun, pemain pertahanan Kuching City FC, Ariff Farhan Md Isa kembali mendapat panggilan kem Malaysia.
Pemain berusia 30 tahun itu antara lima pemain baharu yang dipanggil jurulatih interim, Tan Cheng Hoe. Ini susulan enam pemain Selangor FC terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Menariknya, ini kali pertama Ariff Farhan mendapat panggilan kem Harimau Malaya sejak kempen ASEAN Championship 2020.
Kali terakhir bekas pemain pertahanan Penang FC itu menyarung jersi negara ialah aksi Kumpulan B ASEAN Championship 2020.
Ariff Farhan masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu dan beraksi selama 19 minit. Aksi itu menyaksikan skuad negara tewas 3-0 di tangan Vietnam.
Selepas menyertai Kuching City pada separuh kedua musim 2025/26, beliau tidak menoleh ke belakang dan menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan.
Beliau merekodkan 26 penampilan termasuk 15 penampilan dalam semua kejohanan musim ini. Aksi konsisten Ariff Farhan bukan saja membantu Kuching City layak ke final Piala FA.
Malah, beliau juga antara tonggak yang bertanggungjawab membawa The Cats muncul naib juara liga dan naib juara Piala Malaysia musim lalu.
Selain sentiasa menunjukkan aksi konsisten untuk Kuching City, Ariff Farhan juga mampu beraksi di pelbagai posisi jika diperlukan.
Dua perkara ini dijangka menjadi aset beliau sekiranya diberi kepercayaan beraksi dalam dua aksi menentang China dan Yaman pada 14 dan 17 November ini.


