Bintang pasukan kebangsaan China sanggup menempuh perjalanan sejauh 9,500 kilometer semata-mata untuk berdepan Harimau Malaya.
Daripada kota industri di England hingga ke selatan China, misi pemain muda ini jelas bagi membantu negaranya bangkit selepas siri keputusan mengecewakan bulan lalu.
Harimau Malaya hadir dengan semangat dan momentum terbaik selepas kempen yang membanggakan di FIFA ASEAN Cup 2026 pada Oktober lalu. Skuad negara menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tujuh mata, sama dengan Indonesia, namun terlepas tiket ke final hanya kerana jumlah jaringan yang lebih rendah meskipun membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir kumpulan.
Malaysia kemudian menebus kekecewaan itu dengan menewaskan Vietnam 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Oktober menerusi gol Fergus Tierney untuk merangkul tempat ketiga, tanpa bolos sebarang gol sepanjang kejohanan.
Berbeza dengan China yang melalui bulan Oktober penuh mimpi ngeri. Bermain di laman sendiri dalam siri perlawanan persahabatan di Chongqing, skuad Naga dimalukan Palestin 0-5 pada 2 Oktober sebelum tunduk 0-1 kepada Tajikistan empat hari kemudian, dalam aksi yang turut menyaksikan Wei Shihao dilayangkan kad merah.
Susulan dua kekalahan itu, ketua jurulatih Shao Jiayi melakukan rombakan besar dalam senarai 26 pemain untuk jendela November. Hanya 10 pemain dikekalkan daripada skuad perlawanan Oktober, manakala 16 nama baharu atau kembali disenaraikan termasuk Lin Liangming, Zhang Yuning serta pemain naturalisasi kelahiran Brazil, Sai Erjiniao (Sergiño). Shanghai Port dan Chengdu Rongcheng menyumbang wakil paling ramai dengan lima pemain setiap satu.
Namun begitu, antara nama yang paling mencuri perhatian ialah Xu Bin – satu-satunya pemain dalam skuad yang beraksi di luar China. Pemain tengah bertahan milik Wolverhampton Wanderers itu perlu menempuh kira-kira 9,500 kilometer dari England untuk menyertai kem latihan di Zhaoqing.
Pemain kelahiran Hunan berusia 22 tahun itu merupakan produk Akademi Evergrande sejak 2014 dan pernah menimba ilmu di Sepanyol sebelum mencipta nama bersama Guangzhou FC dengan 40 penampilan liga. Selepas semusim bersama Qingdao West Coast, dia menyertai Wolves secara percuma pada Januari 2026 sebelum dipinjamkan kepada Barnsley.
Bekas pemain Guangzhou itu juga bukan calang-calang pemain pada peringkat antarabangsa. Beliau merupakan kapten skuad B-23 China yang mara ke final Piala Asia B-23 AFC 2026 dan pulang dengan pingat perak, sekali gus menjadikannya antara harapan baharu bola sepak negara China.
Skuad Harimau Malaya telah berkumpul untuk melapor diri pada hari ini, Isnin, 9 November 2026 sebelum berlepas ke China pada Selasa, 10 November 2026.
Perlawanan pertama bertemu China pada Sabtu, 14 November 2026 akan berlangsung pada jam 8.00 malam dan perlawanan kedua menentang Yemen pada Selasa, 17 November 2026 dijadual pada jam 2.00 petang. Kedua-dua perlawanan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre.
Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia kini berada di tangga ke-133 dunia, China di tangga ke-96 dunia manakala Yemen di tangga ke-144 dunia.


