Bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat skuad wanita Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17).
Meskipun terlepas tiket ke Piala Asia Wanita B-17 selepas tewas di tangan India, Hannah tetap memuji semangat juang anak buah jurulatih Jepun, Takayoshi Ishihara.
Beliau percaya pengalaman daripada tiga aksi pusingan kelayakan itu bakal membantu pasukan itu untuk jangka masa panjang.
“Kepada skuad muda Malayan Tigress, terima kasih kerana berjuang untuk Malaysia. Jangan patah semangat. Anda masih muda dan perjalanan masih panjang. Banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman ini,” katanya di Facebook.
Hannah yang kini memikul tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut berharap lebih banyak pelaburan dibuat dalam bola sepak wanita terutama di peringkat akar umbi.
“Saya berharap pelaburan dalam pembangunan bola sepak wanita, khususnya di peringkat junior dapat terus dipertingkatkan. Teruskan berusaha, Malayan Tigress. Saya yakin dengan anda semua!” tambahnya.
Terdahulu, Hannah hadir menyaksikan aksi terakhir Kumpulan E antara Malaysia dan India pada 11 Oktober lalu. Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan dan Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob.