Fergus Tierney Terus Meledak Di Cyprus
MakanBola
PAC Omonia 29M

Penyerang Harimau Malaya, Fergus Tierney meneruskan rentak gol selepas kembali menyertai kelabnya, PAC Omonia 29M.

Selepas meledakkan gol buat skuad negara dalam aksi FIFA ASEAN Cup menentang Vietnam, penyerang berusia 23 tahun itu terus menemui sentuhan gol. Kali ini, giliran gawang AEL Limassol menjadi mangsa Tierney.

Selepas ketinggalan menerusi gol Jair Tavares pada minit ke-59, PAC Omonia 29M kembali menyamakan kedudukan tujuh minit selepas itu menerusi bekas penyerang Sabah FC itu.

Tindakan penjaga gol tuan rumah, Stefanos Kapino keluar dari gawangnya pada ketika itu membawa padah. Bola yang cuba dikeluarkan tiba di kaki Tierney sebelum melepaskan rembatan leret ke arah gawang Limassol yang kosong.

Ini merupakan gol kedua beliau bersama PAC Omonia 29M dalam lima penampilan liga. Tierney turut mencipta satu bantuan gol bersama pasukan itu.

Video gol tersebut kemudiannya dikongsikan Harimau Abroad. Seorang peminat bernama Syaiful Rizal percaya jika Tierney mengekalkan prestasinya ketika ini, beliau berpotensi beraksi untuk kelab yang beraksi dalam kejohanan Eropah.

“Keyakinan beliau berada pada tahap tertinggi sekarang, tak terkejut kalau beliau bermain untuk kelab yang bermain dalam kejohanan Eropah tidak lama lagi,” katanya di X.

Limassol kemudiannya bangkit meraih gol kemenangan menerusi Remi Oudin pada minit ke-81. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

PAC Omonia 29M dan Tierney berharap dapat segera bangkit bila bertemu AEP Polimidia dalam saingan Cypriot Cup pada 14 Oktober ini.