Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski beri bayangan tentang khabar angin pemain Malaysia yang beraksi di luar negara akan memperkuat pasukan.
Khidmat tonggak warisan atau pemain Malaysia yang berada di luar negara ketika ini jadi sebutan apabila beberapa nama telah dikaitkan bakal sertai Harimau Malaya tidak lama lagi.
Nama pemain kelab America de Cali, Rodrigo Holgado turut tersenarai apabila media daripada Colombia memaklumkan bahawa penyerang berusia 29 tahun itu layak untuk wakili Malaysia.
Ketika ditanya mengenai berita Malaysian Abroad ini, Peter Cklamovski tampil menjelaskan perkara ini masih di dalam proses setelah mengenal pasti pemain-pemain yang miliki kelayakan.
”Itu soalan yang baik kerana kita telah mengenal pasti ramai pemain Malaysia di luar negara dan terdapat beberapa nama yang disebut,” kata Peter Cklamovski kepada Astro Arena.
“Terdapat ramai pemain Malaysia di luar negara dan kita sedang mengenal pasti untuk diproses sebelum mereka tiba.”
”Kamu ada menyebut nama beliau (Rodrigo Holgado) dan dia salah seorang daripadanya,” jelas jurulatih kelahiran Australia itu lagi.
Sungguhpun begitu, Cklamovski tetap mengambil kira aspek penting yang perlu ada pada calon pemain warisan ini supaya memiliki semangat untuk mewakili negara dan seluruh rakyat Malaysia.
”Apa yang paling penting untuk saya adalah mereka mahu mewakili negara ini dan memiliki perasaan sebagai rakyat Malaysia.”
Tiada sebarang pengumuman rasmi oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang status Rodrigo Holgado ketika ini meskipun difahamkan beliau akan tiba pada awal Jun nanti.