Rodrigo Holgado Belum Pasti Turun Lawan Vietnam
MakanBola
America de Cali

Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak pasti sama ada dapat menurunkan Rodrigo Holgado untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Sebelum ini, penyerang America de Cali itu dilaporkan akan menyertai kem Harimau Malaya selepas semua proses dokumentasi siap sepenuhnya.

Perkara ini turut disahkan pengendali pasukan itu, Jorge da Silva apabila ditanya tentang status Holgado bersama Harimau Malaya.

Apabila ditanya tentang status terkini penyerang berusia 29 tahun itu, Cklamovski memaklumkan beliau tidak pasti sama ada Holgado dapat diturunkan atau tidak.

“Saya tidak pasti beliau akan diturunkan (menentang Vietnam). Tidak kira siapa yang akan menyarung jersi ini, ia akan menjadi satu kebanggaan (untuk mewakili negara).

“Saya mahu penyokong Malaysia berasa bangga dan keterujaan terhadap pasukan ini, turut merasakan bangga terhadap pemain yang mewakili pasukan kebangsaan.

“Saya tidak boleh arahkan penyokong apa yang perlu dilakukan. Tapi mentaliti yang dibina, saya boleh tawarkan inspirasi kepada penyokong menerusi pasukan ini, sesuatu yang boleh mengubah bola sepak Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Sekiranya proses dokumentasi berjalan lancar, Holgado berpotensi mengikut jejak Hector Hevel dan Gabriel Palmero.

Malaysia akan turun menentang Vietnam untuk aksi kedua kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Jun.